Aina Najihah seorang gadis bertudung, berpendidikan Diploma Pengurusan Perniagaan dari UiTM Shah Alam, berusia sekitar 26 tahun. Sepanjang zaman kanak-kanak dan remajanya, dia membesar di rumah anak-anak yatim biarpun ada khabar-khabar angin yang mengatakan ibunya masih hidup dan berada di Indonesia.
Semasa meniti usia awal dewasa, Aina Najihah menyimpan perasaan cinta terhadap seorang warden asrama Anak-anak Yatim Darul Fikriyah iaitu Ameer Mulhim. Ameer Mulhim merupakan warden di asrama tersebut serta sedang melanjutkan pelajaran dalam Program Master Al- Quran Dan As- Sunnah di sebuah universiti tempatan . Biarpun sering bertemu atas urusan kebajikan namun mereka tidak pernah mengungkap perasaan masing-masing
Bersama teman serumahnya, Khairunnisa’ atau Roon, Aina Najihah berkerja di sebuah hotel yang di tadbir oleh Encik Khairul. Pergolakan di tempat kerja bermula apabila Encik Khairul tidak senang dengan Aina Najihah yang merupakan pekerja kesayangan ibunya, Puan Mawarni Hakimi. Aina Najihah sering dimarahi Encik Khairul sehinggalah berlaku satu konflik antara dirinya, Encik Khairul dan Tuan Mokhtar, pelanggan tetap Hotel Mawar Biru. Akibatnya, Aina Najihah telah dipecat dari jawatan Ketua Pegawai Pemasaran berdasarkan fitnah rekaan individu-individu yang cemburu dengannya. Aina Najihah tidak mudah patah semangat. Sejak itu Aina Najihah mula merancang bidang perniagaan yang ingin diceburinya.
Membesar sebagai anak yang tidak pernah menemui kedua ibu bapanya, menyebabkan Aina Najihah sering kesunyian dan menggendong pelbagai persoalan tentang sejarah silamnya yang masih tak terjawab. Bagi mengisi kekosongan hatinya, Aina Najihah sering melakukan kerja amal di Asrama Anak-Anak Yatim Darul Fikriyah. Setelah dipecat dari kerjanya, Aina Najihah berkerja di rumah anak yatim tersebut.
Pada suatu hari, Aina Najihah menerima ‘sms’ pelawaan dari Ameer Mulhim agar menemani dirinya dan makciknya untuk membeli barang-barang di Kuala Lumpur. Lantaran terlalu gembira dan mengandaikan Ameer Mulhim mungkin mahu memperkenalkan dirinya dengan makciknya ( Ameer Mulhim juga tiada ayah dan ibu) maka Aina Najihah bersiap-siap untuk pergi ke Kuala Lumpur .
Rupa-rupanya jangkaannya meleset. Rupa-rupanya Ameer Mulhim bakal bertunang dengan seorang wanita lain dan akan bernikah dalam masa dua bulan dari tarikh pertunangan. Sejak mengetahui berita itu, Aina Najihah berasa sungguh hiba dan kecewa. Aina Najihah berusaha melupakan Ameer Mulhim namun ternyata sukar.
Dalam masa yang sama, Aina Najihah didatangi seorang makcik yang mengaku pernah memelihara Aina Najihah semasa kecil. Makcik itu memulangkan seutas rantai lama kepada Aina Najihah kononnya rantai itu milik ibu Aina Najihah.Sejak dari hari itu, Aina Najihah sering mengalami mimpi yang pelik. Dia juga mula sakit-sakit. Beberapa kali berubat dan pernah masuk hospital, akhirnya Aina Najihah bertekad mahu mencari ibunya sendiri di Medan Indonesia.
Pelbagai cabaran dilaluinya di Kota Medan.
*Namun, dapatkah Aina Najihah mencari ibunya?
*Bagaimana pula impian cintanya terhadap Ameer Mulhim? Adakah hubungan Ameer Mulhim dengan wanita pilihannya akan terus bahagia?
*Selain itu, adakah Encik Khairul akan tersedar dari kesilapannya memecat Aina Najihah kerana ikutkan rasa hati atau dia akan terus menganiaya Aina Najihah?
*Bagaimana pula dengan derita penyakit misteri yang menghantui Aina Najihah?
*Setelah dipecat dari Hotel Mawar Biru, Aina Najihah pernah bertekad akan membuka satu perniagaan? Tercapaikah hasrat murninya itu?
'Seteguh Kasih Aina Najihah' adalah sebuah novel kemasyarakatan dan kehidupan, juga menyelongkar masalah anak-anak yang tiada ibu dan bapa, membuka minda tentang kekuatan doa sebagai satu senjata mukmin, mengenengahkan bagaimana syaitan menganggu perjalanan hidup manusia, menjengah ke Kota Medan dan mengenali suasana masyarakat di sana, Seteguh Kasih Aina Najihah adalah sebuah novel yang sarat dengan kisah cinta sejati dan sarat dengan mesej yang membina minda dan rohani.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan